Persembahan TATU Sempena Pertabalan Sultan Perak ke-35

Persembahan TATU Sempena Pertabalan Sultan Perak ke-35

IPOH: Lebih 25,000 pengunjung hadir untuk menyaksikan persembahan TATU Sempena Pertabalan Sultan Perak Ke-35 yang diadakan di Stadium Perak, semalam, di sini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan melancarkan gimik pembukaan persembahan TATU.

Turut berangkat sama Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim.

Persembahan yang bermula pada jam 9.15 minit malam itu bermula dengan penyerahan bendera TATU kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah daripada peserta larian amal sempena Hari Pertabalan Baginda.

Larian tersebut juga diketuai oleh pelakon terkenal tanah air, Iqram Dinzly, yang juga merupakan anak jati Perak.

Di dalam persembahan yang hampir tiga jam itu, pengunjung dapat menyaksikan pelbagai acara menarik seperti kawad, tarian, kawad senyap dan persembahan akrobatik daripada pasukan beruniform.

TATU dimulakan dengan persembahan daripada Drumliner Puzida yang dimainkan oleh penuntut di Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA).

Pengunjung kemudian dihiburkan lagi dengan persembahan pancaragam gabungan Tentera Darat Malaysia yang menggabungkan Rejimen Askar Melayu DiRaja dan Kor Armor Diraja.

Aksi persembahan TATU turut dimeriahkan lagi dengan aksi gimnastik dari pasukan Tentera Udara Malaysia yang mempamerkan pelbagai aksi lompatan yang lincah termasuklah aksi lompatan melepasi gegelung api.

Persembahan kemudiannya diteruskan lagi dengan persembahan kawad senyap daripada Tentera Laut DiRaja Malaysia yang berkawad sambil memegang dab beraksi dengan M16.

Pengunjung kemudiannya turut dihiburkan pula dengan persembahan yang penuh bersemangat daripada pasukan pancaragam Polis Diraja Malaysia.

Debaran penonton kian terasa apabila menonton aksi-aksi akrobatik motosikal lagak ngeri yang dilakukan oleh Kor Polis Tentera Diraja, iaitu Army Red Warrior.

Penonton kemudiannya turut terhibur dan bergelak ketawa dengan persembahan kawad patung yang dipersembahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Persembahan yang lain ternyata unik itu telah mengundang gelak tawa penonton yang hadir pada malam berkenaan.

Sultan Nazrin serta Tuanku Permaisuri, Tuanku Zara Salim serta kenamaan lain kelihatan ketawa ketika menyaksikan persemban.

Turut berangkat ke persembahan TATU tersebut, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Ibni Almarhum Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain serta Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri.

Persembahan penutup TATU diakhiri dengan aksi yang penuh debaran iaitu persembahan daripada pasukan Gerak Khas, Komando, dan juga anjing perang daripada pasukan Elit Tentera Darat Malaysia.

Persembahan komando ini juga turut mendapat tepukan yang gemuruh daripada pengunjung yang hadir.