Majlis Anugerah Program Bertauliah Cemerlang (5 Bintang)

Majlis Anugerah Program Bertauliah Cemerlang (5 Bintang)

Kualiti Program Pusat Bertauliah Jabatan Kemahiran Manusia Meningkat

PUTRAJAYA, 5 Jun (Bernama) — Kadar peratusan program Pusat Bertauliah (PB) di bawah Jabatan Kemahiran Manusia yang diberi lima bintang, meningkat kepada 44 peratus pada tahun lepas, berbanding 31 peratus pada tahun 2011.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Mutalib berkata peningkatan itu membuktikan tahap penyampaian perkhidmatan dan prestasi PB semakin meningkat dan menghampiri taraf pemarkahan dan kriteria yang Jawatankuasa Penilaian Penarafan gariskan.

“Ini menunjukkan pelaksanaan penarafan ini memberikan impak positif kepada PB dalam usaha memperbaiki kelemahan dan kekurangan dalam pelaksanaan latihan kemahiran serta meningkatkan daya saing dalam kalangan mereka untuk menjadi yang terbaik,” katanya pada majlis Anugerah Program Bertauliah Cemerlang (Lima Bintang) di sini Khamis.

Program penilaian itu dijalankan dari Jun hingga November 2013, dan penilaian dibuat terhadap 2,821 program melibatkan 813 PB.

Beliau berkata selain itu, penarafan satu bintang program PB itu telah menurun daripada 12 peratus pada 2011 kepada hanya tiga peratus pada 2013.

Ismail juga berkata pelatih PB yang cemerlang akan dihantar oleh kemenetrian itu untuk menyertai pertandingan peringkat antarabangsa bagi memberi pendedahan yang lebih meluas kepada mereka.

“Ini satu cara kita hendak tingkatkan tahap mereka, dengan bersaing di peringkat antarabangsa, dan bagi membuktikan mereka juga mempunyai kemahiran dalam bidang yang mereka ceburi,” katanya.

Beliau berkata negara amat memerlukan pekerja berkemahiran tinggi bukan sahaja sebagai pemangkin transformasi, tetapi juga sebagai tunjang utama kepada sistem sokongan Malaysia dalam usaha mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata permintaan terhadap tenaga mahir yang berkualiti, kompeten dan berpengetahuan luas akan meningkat memandangkan pelaksanaan program transformasi ekonomi negara diunjurkan akan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan baharu menjelang 2020.

“Persediaan awal dalam menyediakan tenaga mahir ini amat bersesuaian untuk memenuhi keperluan industri seterusnya menjadikan tenaga kerja itu mampu bersaing di persada antarabangsa,” katanya.

— BERNAMA